Wabak H5N1 Di Kelantan


KOTA BHARU - Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga dan mengenalpasti sekiranya ayam peliharaan mereka mengalami tanda-tanda wabak H5N1 supaya melaporkan segera kepada pihak berkuasa untuk tindakan melupuskan bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan lain.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun setakat ini wabak berkenaan masih terkawal dan orang ramai tidak perlu panik.  
     
“Kita tidak kata ini tahap bencana apa yang saya bincangkan dengan Exco, (Datuk Che Abdullah Mat Nawi) tidak bercakap begitu (seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan Kelantan dilanda ‘Bencana Negeri’).
“Apa yang perlu kita buat sekarang adalah tingkatkan kegiatan memeriksa kawasan wabak dan melakukan pemantauan bagi tujuan berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri taklimat H5N1 di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pengarah JPV, Dr Kamarudin Md Isa, Pengarah JPV negeri, Dr Suratan Kamarudin serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada)  Datuk Md Alwi Che Ahmad.
Ahmad Shabery berkata, orang ramai tidak perlu panik untuk makan ayam yang dimasak dengan suhu 70 darjah Celcius memandangkan ayam yang dimasak tiada masalah.

“Setakat ini hanya ayam kampung yang dijangkiti wabak manakala ayam komersial masih boleh dimakan memandangkan ia dibawa dari kawasan luar Kelantan. Tak perlu bimbang.

“Begitu juga telur ayam komersial boleh dimakan kerana ia juga datang dari negeri lain dan bukannya Kelantan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, pihaknya menasihatkan penternak supaya tidak bimbang apabila ayam, itik dan ternakan unggas mereka dilupuskan memandangkan kini, kesihatan manusia lebih diutamakan.

-Sinar Harian 16 Mac 2017





EmoticonEmoticon